Mengapa Salah Faham
terjadi?
Salah faham terjadi kerana
pemahaman yang salah mengenai konsep asas insurans. Sejak awal tahun
1970an, industri insurans sudah mula berkembang di Malaysia, tetapi
kebanyakan teks dan ilmu mengenai insurans hanya boleh didapati di dalam
versi bahasa Inggeris. Bagi orang Melayu pada masa itu, insurans
merupakan satu 'benda baru' untuk mereka dan mungkin kerana
penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, ini telah membuatkan mereka
membuat pelbagai tanggapan salah mengenai Life Insurans dengan
mengaitkan Life Insurans sebagai satu jual-beli nyawa atau jual-beli
pampasan.
Sejauh manakah
salah faham ini berlaku di kalangan masyarakat kita?
Pada pemerhatian saya, salah faham
ini sudah mencapai di tahap kritikal
sekarang kerana wujudnya persaingan tidak
sihat dari ejen-ejen insurans tertentu, yang
menyalah-gunakan fatwa dan hukum agama, bagi menjual insurans mereka
untuk kepentingan mereka sendiri. Perkara sebegini bukan sahaja
memberi maklumat yang tidak tepat mengenai Life Insurans, malahan
membuatkan masyarakat kita memandang Life Insurans sebagai satu benda
negatif, haram dan dikeji.
Adakah benar Life
Insurans itu Insurans Nyawa?
Anda tentu sedia maklum bahawa semua
insurans perlu dibuat mengikut nilainya. Adakah insurans menilai nyawa
seseorang? Tentu tidak! Insurans tidak pernah menilai atau meletak
harga ke atas nyawa seseorang. Malahan, anda tidak perlu kehilangan
nyawa untuk menerima pampasan insurans. Dalam realiti, pampasan insurans
tetap berbayar samada kerana cacat keseluruhan, penyakit kritikal,
kemalangan dan rawatan hospital, tanpa anda kehilangan nyawa. Jadi,
tidak mungkin ia satu Insurans 'Nyawa'.
Jika seseorang itu memahami konsep
asas insurans, dia
sepatutnya tahu bahawa perkataan 'Life' memberi banyak makna lain selain
nyawa, iaitu makna yang lebih tepat lagi -
KEHIDUPAN. Contoh: apabila seseorang berkata "How's Life?",
dia bukan maksudkan bagaimana nyawa anda, sebaliknya bertanya khabar
bagaimana kehidupan anda?.
Jadi, tidak hairanlah, apabila
tafsiran dibuat pada pemahaman yang salah, masyarakat mula
mempersoal samada nyawa seseorang itu boleh dijual-beli atau diletakkan
harga sehingga menyebabkan keluarnya Fatwa yang kurang tepat mengenai
insurans nyawa.
Adakah benar Life
Insurans itu satu Muamalah Jual-Beli Pampasan?
Ini satu lagi salah faham mengenai
insurans di mana ramai yang menyangka ia sebagai satu urusan jual-beli
pampasan. Tidak hairanlah, wujudnya satu lagi fatwa pada tahun 1979 yang
mengharamkan Insurans Nyawa kerana ia ditakrifkan sebagai satu muamalah
yang 'fasid' (rosak/tidak sah) yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip
Islam dari segi aqadnya kerana mengandungi unsur-unsur gharar (tidak
ketentuan), maisir (judi) dan riba. Tetapi adakah benar Life Insurans
itu satu muamalah jual beli pampasan?
Saya ambil contoh situasi benar yang
berlaku apabila seseorang itu membuat pinjaman rumah di bank. Apabila
bank meminta anda memastikan bahawa pinjaman anda tetap berbayar
walaupun anda mati atau cacat kekal, adakah bank menyuruh anda membeli
pampasan dari pihak tertentu? Cuba anda renung perkara ini betul-betul,
samada bank menyuruh anda membeli pampasan atau tidak?
Tentu tidak bukan? Apa yang bank
mahukan hanyalah satu JAMINAN PERLINDUNGAN atau JAMINAN KEWANGAN
di mana, jika anda mati atau cacat kekal, pinjaman rumah anda itu tadi
akan dapat dibayar oleh penjamin anda. Siapa yang boleh menjadi penjamin
untuk satu jumlah pinjaman yang besar seperti itu? Kawan-kawan? Adik
beradik? Ibu bapa? Pinjaman peribadi RM 10,000 pun semua orang takut nak
jamin, inikan pula pinjaman rumah yang bernilai ratusan ribu! Jadi
ternyata, jaminan seperti ini, tidak mampu dipegang jika diserahkan
kepada seseorang.
Dalam industri kewangan, jaminan
perlindungan tersebut ada disediakan oleh sebuah institusi
kewangan yang dipanggil syarikat insurans dan tugas mereka adalah
untuk menyediakan jaminan perlindungan ke atas risiko-risiko asli
tertentu sahaja. Syarikat Insurans tidak
pernah menjual pampasan, sebaliknya hanyalah memberi jaminan
perlindungan.
Jadi, apakah Barang atau
Subject Matter di dalam aqad Life Insurans?
Saya berpendapat, barang atau
subject matter di dalam aqad Life Insurans adalah JAMINAN PERLINDUNGAN
(yang diberi dalam bentuk JAMINAN KEWANGAN) dan POLISI INSURANS
kerana hanya dengan membeli insurans sahaja, anda akan menerima jaminan
perlindungan dan polisi insurans. Malahan istilah ‘Takaful’ sendiri
membawa maksud kepada “jamin-menjamin”, bukan menjual/mengutip pampasan.
Buat sumbangan pada anak yatim, anda tidak akan dapat polisi insurans.
Begitu juga kalau buat sumbangan kepada masjid mahupun surau atau
mana-mana badan kebajikan, anda tidak akan dapat polisi insurans. Belum
pernah dalam sejarah industri kewangan, sesiapa yang membuat sumbangan
kepada badan kebajikan, akan diberi polisi insurans.
Jaminan perlindungan ini wujud dan
boleh dibuktikan dengan sokongan polisi insurans. Berbalik kepada isu
jaminan kepada bank. Pihak bank tentunya hanya akan percaya, anda sudah
ada jaminan perlindungan apabila anda sudah ada polisi insurans. Kalau
tidak, pasti pinjaman anda tidak akan diluluskan. Dan
polisi insurans
ini, anda hanya akan dapat kalau anda
menyertai skim insurans yang
dikelolakan syarikat insurans, dimana fungsinya adalah untuk
melindungi kesemua peserta-peserta di dalam satu kumpulan yang besar.
Adakah patut Jaminan
Perlindungan ini diberi secara percuma?
Mungkin anda tertanya-tanya,
memandangkan syarikat insurans hanya memberi jaminan perlindungan (dalam
bentuk jaminan kewangan ke atas kerugian kewangan yang dialami oleh
peserta), mengapa mereka perlu caj peserta untuk jaminan tersebut?
Bukankah sepatutnya tidak ada caj kerana tidak terima pampasan?
Cuma anda lihat apa terjadi kepada
kakitangan kerajaan yang memberi jaminan sebagai penjamin kepada orang
yang membuat pinjaman peribadi, khususnya di Bank Rakyat. Apa telah
terjadi kepada mereka sekarang ini? Ramai yang terpaksa menanggung
hutang yang mereka tidak buat, kerana si peminjam larikan diri, tanpa
membayar semula pinjaman mereka. Inilah gara-gara memberi jaminan
perlindungan/jaminan kewangan secara percuma. Ia mengundang seribu
satu masalah dan bermacam jenis penipuan. Jika anda lihat sekarang,
berapa ramai kakitangan kerajaan yang sanggup menjamin pinjaman peribadi
orang lain, walaupun kawan baik sendiri? Hampir tiada, betul tak?
Lebih-lebih lagi nak jamin seseorang yang kita tidak kenal. Lagilah
mustahil nak jumpa penjamin.
Sebab itulah, setiap peserta yang
menyertai skim Life insurans perlu dicaj mengikut risiko kehidupan yang
mereka bawa. Tidak ada syarikat insurans yang sanggup beri jaminan
perlindungan begitu sahaja, tanpa apa-apa caj insurans. Semuanya perlu
ditapis terlebih dahulu sebelum penerimaan dibuat oleh syarikat insurans.
Ini kerana Life insurans tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Ia
hanya boleh dibeli dengan kesihatan. Jika kesihatan anda tidak
mengizinkan, duit sejuta ringgit pun tidak akan laku di syarikat
insurans.
Di Malaysia, jumlah caj insurans ini
dikawal-selia oleh Bank Negara Malaysia, satu-satunya badan kerajaan
yang ditugaskan untuk mengawal-selia industri kewangan. Dan struktur caj
insurans ini dibuat mengikut standard dan piawaian antarabangsa serta
diawasi oleh Akta Insurans 1996.
Apa fungsi Life Insurans
sebenarnya?
Ramai orang yang menyangka insurans
ini satu skim buat untung. Kalau tidak untung, maka dia pasti akan rugi
dan jatuhlah hukum haram. Saya sendiri tidak faham dari mana dia belajar
semua ini?
Kalau anda kaji konsep asas insurans,
jaminan perlindungan yang diberikan ini, bukan ke atas nyawa seseorang
kerana Life Insurans tidak pernah menilai atau meletak harga ke atas
nyawa seseorang. Jaminan perlindungan hanya dibuat berdasarkan kerugian
kewangan (financial loss) dan fungsinya bukan untuk membuat
keuntungan, sebaliknya untuk menutup kerugian kewangan
(indemnity) yang dialami akibat risiko-risiko (musibah) asli tertentu.
Ada orang yang mengatakan,
insurans konvensional ini umpama nikah cara sivil, tidak ikut hukum
syariah kerana mengikut undang-undang sivil. Apa komen anda?
Pertama, insurans tidak sama
dengan nikah kahwin. Ini anda perlu faham dan tidak boleh
pandai-pandai buat perumpamaan kalau tidak cukup ilmu insurans. Kedua,
Akta Insurans & Akta Takaful, kedua-duanya adalah undang-undang sivil.
Akta Takaful mahupun syarikat Takaful tidak
pernah di bawah kawalan Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun pihak Jabatan
Agama Islam. Semua syarikat insurans dan ejen-ejennya, baik
konvensional atau Takaful, dikawal-selia oleh Bank Negara
Malaysia.
Ketiga, hanya kerana ia satu
undang-undang sivil, tidak bermakna sesuatu itu akan pasti menjadi haram.
Sebaliknya, saya percaya, jika ia dibuat
mengikut prinsip syariah, walaupun ia adalah undang-undang sivil, maka
ia tetap sah di dalam Islam. Sebagai contoh: Undang-undang
lalu-lintas Malaysia, takkan anda tidak mahu bayar saman, hanya kerana
anda orang Islam yang tidak percaya kepada undang-undang sivil?
Satu contoh paling jelas, adalah
sijil kahwin saya. Saya bernikah di Golden Mosque, Quiapo, Manila
dengan berwali hakim dan 2 saksi petugas masjid. Sijil nikah yang
dikeluarkan oleh kerajaan Filipina adalah satu sijil perkahwinan sivil.
Tetapi, sekembalinya saya ke Malaysia, pihak JAWI mengesahkan
perkahwinan saya sah di sisi syarak kerana semuanya dibuat mengikut
hukum Islam dan mereka mengeluarkan surat nikah JAWI untuk memudahkan
urusan imigresen isteri saya. Tambahan pula, kebenaran dari pihak JAWI
sudah pun saya dapatkan dulu sebelum berangkat ke Manila. Jadi sudah
jelas, sijil nikah sivil saya tetap sah dan diterima-pakai oleh pihak
JAWI.
Bagaimana pula dengan
persoalan berkenaan unsur-unsur gharar (tidak ketentuan)?
Apabila 'subject matter' di dalam
Life Insurans ini ditakrifkan sebagai jaminan perlindungan, maka segala
persoalan gharar, riba dan maisir (judi) akan terjawab.
Dengan adanya polisi insurans, segala
kandungan mengenai Life Insurans sudah pun dinyatakan dengan jelas, baik
dari segi tempoh jaminan, jumlah pampasan yang akan diberi di dalam
tempoh jaminan, caj yang dikenakan ke atas jaminan yang diberikan dan
bagaimana pampasan boleh dituntut, apabila anda memenuhi syarat-syarat
perjanjian amanah di dalam polisi insurans anda. Semua ini dibuat dengan
jelas, mengikut standard piawaian Bank Negara Malaysia dan Akta Insurans
1996.
Jaminan perlindungan dan polisi
insurans boleh dibuktikan,
baik di mahkamah sivil, mahkamah syariah mahupun di dalam industri
perbankan. Mahkamah syariah juga mengesahkan pampasan insurans
konvensional adalah suatu harta pusaka yang perlu difaraidkan di
kalangan pewaris si mati. Ini bermakna, mereka mengiktiraf bahawa
jaminan perlindungan itu wujud dan pampasan tersebut perlu
dibahagi-bahagikan mengikut sistem pusaka Islam.
Adakah benar riba' wujud
di dalam Life Insurans?
Jika anda lihat polisi insurans lama
(traditional life policy), akan ada unsur riba apabila seseorang itu
mengeluarkan simpanan insuransnya sebelum tiba tempoh matang. Ini
dinamakan policy loan (pinjaman dari polisi) dan biasanya dikenakan
interest/faedah yang boleh dijatuhkan hukum riba'. TETAPI, dengan
wujudnya plan insurans baru berbentuk Investment-Linked Insurance, maka
isu riba sudah tidak wujud lagi, lebih-lebih lagi dengan
adanya plan simpanan berprinsip syariah,
kerana setiap pengeluaran simpanan insurans dianggap penjualan semula
unit saham amanah anda kepada syarikat insurans, dan bukannya satu
pinjaman. Maka isu riba tidak pernah wujud dalam plan Insurans
Investment-linked sekarang!
Begitu juga mengenai isu timbangan
yang tidak sama (Riba' Al-Fadl) di mana premium insurans murah,
sedangkan pampasannya berpuluh kali-ganda? Riba akan wujud jika anda
menyangka Life Insurans itu satu proses jual-beli pampasan. Cuba anda
lihat perniagaan kelab sukan/gym. Adakah anda beli mesin exercise atau
beli ‘kesihatan’? Tentunya anda bukan beli mesin exercise atau
‘kesihatan’ bukan? Apa yang anda beli/bayar adalah untuk keahliannya.
Macam mana nak tahu wujudnya keahlian itu? Ada - sila rujuk kad keahlian
Sama juga dengan Life Insurans, anda
bukan beli pampasan, sebaliknya anda beli jaminan perlindungan. Kalau
nak tahu samada anda ada jaminan perlindungan atau tidak, sila rujuk
polisi insurans. Polisi insurans ini umpama kad keahlian kelab gym tadi.
Dan kalau anda lihat, keahlian gym tadi, bayar cuma RM 50 sebulan sahaja,
tapi dapat guna mesin exercise yang bernilai ratusan ribu ringgit.
Ditambah lagi dengan kemudahan mandi sauna dan trainer aerobik, mana
mungkin anda dapat semua itu dengan hanya RM 50 sahaja? Sebab kelab gym
tersebut hanya jual keahlian, bukan jual trainer aerobik, tempat sauna
mahupun mesin exercise! Dan mereka buat perniagaan ini dalam satu
kumpulan ahli yang besar, bukan seorang dua. Jadi keahlian dapat
diberikan dengan harga yang murah dan hasil kutipan semua ahli, kelab
dapat menyediakan semua kemudahan ini.
Sama juga dengan Life Insurans, sebab
itulah hanya dengan RM 100 sebulan, anda sudah boleh dapat jaminan
perlindungan RM 100,000 sebab syarikat insurans hanya beri jaminan
perlindungan sahaja, bukan jual-beli pampasan. Apa gunanya jaminan
perlindungan ini kalau pampasan tak dapat? Inilah masalah orang yang
tidak faham konsep asas insurans. Jaminan perlindungan ini boleh anda
gunakan untuk menyokong permohonan pinjaman anda di bank. Saya pasti
setiap bank akan minta jaminan perlindungan sebelum mereka meluluskan
pinjaman rumah yang beratus ribu. Bank bukan suruh anda beli pampasan,
bank suruh anda sediakan jaminan perlindungan sahaja iaitu pihak yang
sanggup bayar sejumlah wang bagi pihak anda, apabila anda ditimpa
musibah!
Jaminan perlindungan ini juga boleh
digunakan oleh suami untuk meyakinkan isterinya, yang dia seorang lelaki
yang bertanggung-jawab, terutamanya kepada keluarganya. Saya pasti,
semua suami, kalau boleh, mahukan ketenangan fikiran dalam hal kebajikan
keluarganya. Dia tentu nak pastikan keluarganya dapat meneruskan
kehidupan mereka seperti biasa, walaupun dia sudah tiada atau tidak
berupaya. Tidak ada seorang ayah pun yang sanggup melihat anak-anaknya
menderita menghadapi keperitan hidup ini. Hanya dengan Life Insuranslah
dia dapat menjamin, keluarganya akan menerima pendapatan berterusan,
walaupun dia sudah tiada atau tidak berupaya. Dengan Life insurans-lah,
si suami dan si ayah tadi dapat berikan jaminan kepada isteri dan
anak-anaknya.
Jadi, saya berpendapat, sudah tentu
isu Riba' Al-Fadl ini sepatutnya tidak wujud jika seseorang itu
benar-benar memahami konsep asas insurans. Ini kerana, jika benarlah
isu timbangan tidak sama itu adalah riba, maka semua insurans am juga
patut diharamkan. Malahan semua jenis insurans perlu diharamkan kerana
timbangan tidak sama. Bayar insurans kereta murah, perlindungan berpuluh
ribu. Insurans kebakaran bayar RM 100 setahun sahaja, perlindungan
sampai RM 100,000. Bukankah sudah jelas, tidak sama timbangan? Mengapa
pula insurans am boleh dihalalkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sedangkan
ia jelas satu unsur Riba’ sama seperti hujah agama ke atas Life Insurans?
Sebab itulah saya berpendapat, fatwa dan hukum sedia-ada mengenai
Life Insurans tidak tepat kerana, bukan sahaja fatwa dan hukum
agama dibuat dengan hujah-hujah yang tidak konsisten (insurans
nyawa haram kerana isu timbangan tidak sama, sebaliknya insurans am
dihalalkan walaupun isu timbangannya tetap tidak sama) malahan, fatwa
dan hukum agama ke atas Life Insurans ini telah dibuat atas pemahaman
yang kurang tepat dan pengetahuan yang sangat lemah dalam bidang
insurans, terutamanya terdapat banyak perubahan yang sudah berlaku di
dalam industri insurans sekarang.
Isu timbulnya penangguhan dalam
penyerahan 'barang' (Riba An-Nasi'ah), sebenarnya juga tidak wujud lagi.
Ini kerana, apabila seseorang itu membayar premium insuransnya,
jaminan perlindungan itu sudah wujud serta-merta
semasa aqad dibuat dan syarikat insurans
sudah pun menanggung liabiliti ke atas peserta itu apabila wang
diserahkan. Jika dia mati atau cacat kekal kerana kemalangan
pada keesokkan harinya, pampasan insurans tetap akan berbayar. Ini boleh
anda semak dengan mana-mana syarikat insurans, baik konvensional mahupun
Takaful.
Bagaimana pula dengan
unsur Maisir (Judi) di dalam kontrak insurans?
Memang tidak dinafikan ada orang yang
menganggap membeli insurans ini satu perjudian ke atas sesuatu yang
belum pasti berlaku. Apa yang belum pasti berlaku sebenarnya?
Belum pasti terima pampasan? Tidak hairanlah anda merasa insurans itu
seperti judi, kerana anda menyangka insurans itu satu jual-beli pampasan.
Tetapi jika anda faham konsep asas insurans, anda tentu akan sedar,
bahawa anda sudah pun menerima apa yang anda sudah bayar, iaitu -
Jaminan Perlindungan!
Sebab itulah, saya berpendapat,
unsur Maisir (Judi) sebenarnya tidak wujud kerana : -
1.
Peserta
membayar premium kecil kerana dia hanya membeli jaminan perlindungan dan
bukannya membeli pampasan. Dan wang yang diberi oleh syarikat insurans
juga lebih berbentuk sumbangan atau pampasan yang datangnya dari hasil
sumbangan semua ahli peserta di dalam satu kumpulan besar. Kalau tidak
silap saya, jika wang yang diberi itu dianggap sebagai satu sumbangan/pampasan,
maka ia tidak mengapa dan dibolehkan di dalam Islam.
2.
Wang premium
yang dibayar sebenarnya tidak hangus kerana jaminan perlindungan sudah
pun diberikan dari awal-awal lagi apabila peserta menyerahkan duitnya.
Peserta sudah pun mendapat 'barang' yang dibayarnya. Tambahan pula,
sepanjang tempoh jaminan, peserta bukan sahaja mendapat layanan dari
syarikat insurans, malahan dari ejen insurans itu sendiri. Jadi
segala-galanya jelas bahawa peserta sudah pun mendapat apa yang
dibayarnya.
3.
Syarikat
insurans tidak rugi hanya kerana membayar tuntutan pampasan berpuluh-kali
ganda yang melebihi premium yang diterima. Ini kerana insurans dibuat di
dalam satu kumpulan yang besar dan peratusan peserta yang membuat
tuntutan pampasan hanyalah peratusan kecil dari kumpulan besar tersebut.
Tambahan pula, tuntutan pampasan yang dibayar, bukannya datang dari wang
syarikat, sebaliknya dari sumbangan (caj insurans) setiap peserta yang
diterima di dalam satu kumpulan besar tersebut. Contoh: Tuntutan
berjuta-juta ringgit setiap tahun pun, syarikat insurans masih lagi
untung kerana operasi perniagaan mereka dibuat secara menyeluruh di
dalam satu kumpulan besar, bukan terhad kepada satu-satu urusan
jual-beli. Ini boleh dilihat dari laporan tahunan mana-mana syarikat
insurans.
Mengapa Insurans
itu bukan judi? Boleh jelaskan?
Banyak bezanya. Judi itu mewujudkan risiko sedangkan insurans itu
menutup risiko sedia-ada. Judi itu untuk menyediakan keuntungan kepada
mereka yang kena, tetapi insurans hanyalah menutup kerugian kewangan
(indemnity) kepada peserta yang ditimpa musibah, bukan mencipta
keuntungan ke atas nyawa.
Orang yang kalah berjudi akan kehilangan segala duitnya, tetapi premium
dana syariah diberi semula berserta dividen lagi apabila tiba tempoh
matang. Judi itu membayar duit kepada mereka yang bernasib baik,
sedangkan indemnity dalam insurans diberikan kepada peserta yang tidak
bernasib baik (ditimpa musibah tertentu).
Dalam judi, sesiapa pun layak berjudi, tetapi dalam insurans, hanya
mereka yang mempunyai kepentingan diinsuranskan sahaja boleh memohon.
Judi dibuat dengan duit, insurans hanya boleh dibuat dengan kesihatan.
Jika kesihatan anda tidak mengizinkan, duit sejuta pun tak laku!
Jadi, adakah anda nampak perbezaan judi dan insurans itu?
Ada orang kata, sistem
konvensional hanya mementingkan untung semata-mata? Tidak seperti
operator Takaful yang lebih mementingkan kebajikan. Betul ke tuduhan ini?
Pertama sekali, tidak ada satu
syarikat insurans pun didaftarkan sebagai satu badan kebajikan. Semuanya
didaftarkan sebagai satu perniagaan, tidak kira ia syarikat insurans
konvensional mahupun Takaful. En Azman Ismail (Hijrah Strategic Advisory
Group) dalam artikelnya di laman web LIAM juga ada menyatakan di dalam
Sidang Kemuncak Takaful di Bahrain 1997 bahawa perjalanan
syarikat-syarikat Takaful di Malaysia lebih kepada bentuk perniagaan,
dan bukannya dilakukan dalam bentuk koperasi/kerjasama seperti yang
disarankan oleh ulama-ulama seluruh dunia. Dan saya berpendapat, bagi semua perniagaan, mencari untung
itu adalah satu matlamat yang tidak ada salahnya. Jika anda berniaga,
mahukah anda rugi sentiasa? Tentu mahu untung juga bukan?
Kedua, jangan mudah menuduh syarikat
konvensional hanya pentingkan untung semata-mata kerana bukti-bukti yang
saya ada menunjukkan, syarikat insurans konvensional banyak memainkan
peranan penting dalam hal kebajikan masyarakat, tidak kira mereka ini
peserta skim insurans mereka atau tidak.
Sebagai contoh, Kad Perubatan Sihat
Malaysia. MAA masih lagi mengekalkan produk insurans perubatan ini demi
menjaga kebajikan masyarakat, walaupun mereka tahu dan mereka sedar,
insurans perubatan melibatkan risiko paling tinggi dan banyak mengalami
kerugian selama ini. Bagi setiap RM 1 premium yang dikutip, MAA terpaksa
membayar semula RM 1.60 untuk menanggung bil perubatan hospital yang
peserta-peserta masuk. Produk ini masih lagi dijual dengan jayanya,
walaupun MAA tahu mereka tidak banyak untung kerana tidak dapat
menaikkan harga kad sesuka hati (harga kad perubatan dikawal-selia oleh
Program Kesihatan Kebangsaan) dan produk ini masih lagi diteruskan
walaupun MAA ada mengalami kerugian di dalam sektor ini. Malahan
syarikat insurans konvensional lain juga mengalami kerugian yang serupa,
akibat sikap hospital swasta yang gemar ‘over-charge’ pesakit mereka (dengan
melakukan ujian & prosedur yang tidak diperlukan) apabila mereka
mengetahui pesakit tersebut dilindungi insurans.
Contoh-contoh lain, MAA sendiri
memiliki 8 pusat rawatan dialysis buah pinggang di seluruh Malaysia,
yang bertujuan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan
mendapatkan rawatan. Selain itu, MAA juga membantu Budimas, sebuah
yayasan kebajikan Tuanku Permaisuri Agong, yang menyediakan pelbagai
kemudahan seperti pusat rawatan dialysis buah pinggang dan sebagainya,
untuk mereka yang tidak berkemampuan dan kurang upaya. Banyak juga
aktiviti kebajikan yang MAA taja sebagai penaja utama. Sudah menjadi
lumrah masyarakat, perkara baik yang mereka buat jarang dilihat oleh
masyarakat. Yang nampak hanya benda buruk kerana adanya pihak tertentu
yang suka 'bawa mulut'!
Bagaimana pula dengan
Kenyataan yang mengatakan - "Hanya 4 kaunter sahaja yang mendapat
pengiktirafan Lulusan Syariah dalam kategori Finance di BSKL sedangkan
Kaunter syarikat insurans konvensional lain tidak termasuk dalam senarai
syariah compliance ini". Apa komen anda?
Ya, dalam senarai kaunter BSKL
memang MAA dan syarikat insurans konvensional lain tidak termasuk di
dalam senarai kaunter diluluskan syariah. Ini disebabkan adanya
produk-produk insurans konvensional lain yang masih mempunyai riba
(interest) on policy loan.
Tetapi saham BSKL amat berbeza dengan Dana Pelaburan Syariah di MAA,
mahupun di syarikat insurans konvensional lain. Ini kerana, bagi saham
BSKL, jika anda beli saham MAA berbillion ringgit dan pegang lebih 51%
dalam jumlah saham, anda sudah jadi pemilik baru MAA.
Sebaliknya, bagi dana-dana Islamik Investment-Linked adalah satu dana
amanah saham yang tidak bercampur dengan dana pelaburan konvensional,
mahupun dana syarikat di BSKL. Dan Dana-Dana Islamik ini diiktiraf
sebagai Lulusan Syariah oleh Penasihat Syariah yang terlantik seperti
syarikat Hijrah Strategic Advisory Group, yang mengiktiraf Dana Islamik
MAA adalah halal dan bersih kerana mereka sudah pun meng-audit
perjalanan pelaburan tersebut.
Apa yang anda perlu fahami adalah, jika anda beli berjuta ringgit dana
islamik MAA, anda tidak akan jadi pemilik MAA, kerana ia hanyalah dana
amanah saham. Sama seperti anda letak berjuta ringgit di dalam ASB, anda
tidak mungkin menjadi pemilik PNB. Nampak perbezaannya?
Semua pelanggan insurans MAA yang memilih plan syariah boleh melihat
wang simpanan insurans mereka dilaburkan mengikut prinsip-prinsip
syariah dan di kaunter-kaunter lulusan syariah sahaja.
Diharap penerangan saya ini membantu pemahaman anda dalam industri
kewangan di Malaysia.